Sunday, June 15, 2008
Tribulasi Dakwah
eperibadian yang rosak akan menyebabkan dakwah Islamiyah hancur, tak berkesan dan dibenci oleh masyarakat. Perkara ini berlaku kerana keperibadian duah adalah antara unsur kejayaan dakwah yang penting. Apatah lagi kalau sekiranya duah mempunyai keperibadian yang busuk atau berkeperibadian syaitan, maka ia akan menyebabkan masyarakat membenci dan memusuhi dakwah Islam.
Diperlukan keperibadian duah yang mantap dan istiqamah bagi memikul beban dan tanggungjawab dakwah yang berat serta mempunyai medan yang susah untuk ianya dilalui. Rasul SAW telah dibekalkan Allah dengan keperibadian yang mulia dikenali sebagai "as Shadiqul Amin", yang jujur dan terpercaya. Beliau dilahirkan dalam keadaan mempunyai fithrah sepertimana anak-anak yang lain, tetapi Allah membimbing dan membina beliau dengan pendidikan yang khas, iaitu menjadi manusia yang sempurna dengan keperibadian Rabbani.
Hilangnya nilai-nilai kemuliaan dalan keperibadian duah ianya akan menyebabkan perjalanan dakwah menjadi kehilangan masa depan.
Dakwah Islam menjadi lemah dan rosak apatah lagi sekiranya keperibadian telah jatuh kelembah hina. Ia menjadi manusia berkeperibadian haiwan. Martabat kemuliaan manusia sebagai makhluk yang sempurna akan hilang, ia berganti menjadi kehinaan dan kerosakan. Duah seumpama ini akan menjadi "penjilat" kepada sesiapa yang dapat memberikan kepadanya dunia. Bagi lebih menegaskan pengertian ini, Allah berfirman di dalam Al Qur'an : "…perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya…" surah Al A'raf ayat 176.
5. Ego.
Dakwah Islamiyah hanya dapat di jalani oleh duah yang tinggi akhlaknya, yang ianya selari dengan nilai-nilai kemuliaan Al Quiran dan As Sunnah. Sebaliknya duah dengan corak, gaya serta budaya hidup yang mengikuti hawa nafsu dan syaitan, ia tidak akan mampu menanggung bebanan dan panjangnya perjalanan dakwah. Al Qur'an menjelaskan bahawa di dalam melaksanakan Islam, ia tidak di benarkan untuk menggunakan cara atau langkah-langkah syaitan sepertimana di dalam surah Al Baqarah ayat 208 : "….Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan…".
Sikap duah yang ego merupakan wujud adanya pengaruh dan dominasi hawa nafsu serta syaitan di dalam dirinya. Ia akan menganggap dirinya yang terbaik, kerananya orang lain mestilah belajar daripadanya atau menerima kehadirannya kerana ia-lah contoh duah yang telah menghadham ilmu-ilmu dakwah. Apatah lagi sekiranya mereka belajar di bumi anbiya, maka akan lebih-lebih sikap ego di dalam diri mereka.
Sikap ini juga akan menolak cadangan serta saham yang diberikan oleh orang lain. Mereka ditutup matanya oleh syaitan dari melihat realiti keterbatasan kemampuan manusia. Ia juga tertutup matanya dari realiti kejayaan orang lain. Sikap seumpama ini akan menyebabkan berlakunya persoalan-persoalan dakwah terutamanya manakala mereka terlibat di dalam amal jama'i. Akibatnya akan wujud di dalam diri duah sikap seperti :
A. Merasa dirinya Hebat (I'tizaziyah).
Dengan wujudnya ego, ia akan menjadikan dirinya sombong dan merasa hebat di banding duah lain. Kalau sekiranya mereka ber "amal jama'i", mereka tidak akan menghargai saham duah yang lain walaupun boleh jadi kejayaan yang diperolehinya disebabkan oleh duah sahabatnya. Duah sedemikian akan menyalahkan orang lain sekiranya ada perkara-perkara yang tak elok berlaku, mereka akan mencari "kambing hitam". Perkara seumpama ini di abadikan oleh Al Qur'an :
"…Dan jika mereka memperolehi kebaikan mereka mengatakan "ini adalah dari sisi Allah" dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan "ini datangnya dari sisi kamu". Katakanlah : " Semuanya dari sisi Allah.…" surah An Nisa ayat 78.
Duah sedemikian akan memandang hanya kepada kejayaan-kejayaan yang ia perolehi serta ia berbangga dan menceritakannya kepada sesiapa sahaja seolah-olah ia sahajalah yang mampu melakukan perbuatan sedemikian.
B. Meperkecilkan peranan orang lain (Intiqashiyah)
Sebaliknya, duah juga akan meperkecilkan sumbangan atau peranan orang lain. Mereka tersinggung sekiranya ada orang yang bersimpati atas kejayaan duah lain. Dirinya merasa tercabar, walaupun pada hakikatnya duah yang ego sedemikian ia tidak mempunyai kemampuan hebat apa sekalipun. Hati mereka gelisah, tersinggung, panas membara di dada manakala mendengar masyarakat memuji duah lain. Mereka merasa diperlekehkan oleh masyarakat walaupun hakikatnya masyarakat tidaklah bermaksud demikian. Mereka memandang duah lain lain sebagai "the second class". Dan seterusnya ia akan melakukan fitnah, menghalang serta melakukan tindakan-tindakan tidak terpuji bagi menyekat penglibatan duah lain di dalam dakwah. Mereka menghalang orang lain dari jalan Allah dengan berbagai tipu helah.
Firman Allah : "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah…" surah Al Anfal ayat 47.
C. Merasa menjadi Figur Hebat (Wijahiyah).
Sikap ego telah mengheret duah untuk merasa dirinya sahaja yang patut di jadikan tokoh atau figur dan orang lain perlu taksub kepadanya. Ia merasa mempunyai kebolehan serta ilmu yang luas.
Sesetengah duah bahkan ada yang menganggap dirinya lebih tahu daripada nabi SAW. Mereka mengatakan : "Nabi hanya memahami Islam di tepi-tepi pantainya, sedang kami memahami kedalaman lautannya" naudzu billahi min dzalik!.
Mereka melaksanakan dakwah dengan berbagai-bagai pendekatan walaupun ianya bercanggah dengan syarak bagi mengukuhkn kedudukannya sebagai duah yang hebat. Tidak jarang duah sedemikian akan memaksakan pengikut-pengikutnya untuk merujuk kepadanya dalam segala urusan, termasuk urusan peribadi dan keluarganya. Duah sedemikian akan "menubuhkan" empayar dakwahnya serta mengangkat dirinya sebagai "raja". Mereka berbuat sedemikian tanpa panduan dakwah yang jelas, memesongkan masyarakat serta menyesatkanya. Allah mengingatkan mereka dengan firman-Nya :
"Mereka melarang (orang lain) mendengarkan Al Qur'an dan mereka sendiri menjauhkan diri daripadanya, dan mereka hanyalah membinasakan diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyadari" surah Al An'am ayat 36
D. Dakwah secara keSeorangan (Infiradiyah)
Selanjutnya dengan egonya duah merasa lebih selesa menjadi "the lone ranger". Mereka tidak menyukai sekiranya ada duah lain yang membantu, walaupun pada awalnya sikap tersebut tidak ia tonjolkan.
Namun lama-kelamaan ia mula dirasai oleh duah lain bahawa sebenarnya ia tidak suka beramal jama'i. Duah yang ego boleh jadi akan menonjol semasa beramal secara bersendirian, namun manakala dipersatukan dengan duah yang lain, prestasi dakwahnya menjadi merosot, terlihat tidak bersemangat, tidak puas dengan hasil kerja duah lain. Pada akhirnya ia mengundur diri dari amal jama'i dan kemudiannya ia akan ber "solo career" di dalam dakwah.
Mereka berhujah dengan ayat-ayat atau hadith untuk "taat", "thiqah" dan "ikram" kepada pimpinan atau murabbi atau guru atau syaikh, bagi memaksa murid atau anak buah agar tetap berguru, walaupun murid atau anak buahnya merasa tertekan. Mereka menjadikan murid atau anak buah sebagai "lembu perahan" bagi mencapai hasrat dan kepentingannya. Duah sedemikian tidak menyedari bahawa di atas langit masih ada langit, sungguh sempit pandangan dan pengharapan yang tinggi menjulang langit, namun ianya tidak disokong oleh kebersihan jiwa dan kelapangan dada.
Kesan dari sikap ego di dalam diri duah akan mencemar kemuliaan dakwah Islam. Mereka mempunyai sikap sombong, kasar dan berperangai "samseng". Dan apa yang menarik yalah seringkali duah yang ego akan berkumpul dan saling mendokong satu dengan lainnya. Mereka akan saling menguatkan, walaupun di dalam hati mereka ada kepentingan masing-masing. Pada hakikatnya hati mereka bercerai-cerai, walaupun ia tampak bersatu kukuh.
Unsur-unsur merosakkan dakwah akan lebih ketara, manakala mereka menghadapi dugaan duniawi baik ia berupa "mihnah" atau "minhah", baik ia berupa bencana ataupun kesenangan. Mereka mudah berpecah dan saling menyalahkan orang lain.
Cukuplah Al Qur'an sebagai pengingat manakala Allah berfirman :
"Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitanpun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan. Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kamipun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami akan siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa" surah Al An'am ayat 43 – 44.
Read more...
monologku...
15 jun 2008.
Pada suatu malam yang hening..
Walaupun sinaran mega matahari kian menghilang, aku masih lagi di koridor bilikku. Termenung memikirkan perjalanan hidupku sebagai seorang yang bergelar pemuda. Semakin hari, semakin sukar untuk aku menyusuri denai-denai yang penuh onak dan duri. Dipenuhi segala macam mehnah dan tribulasi. Aku bingung. Bingung memikirkan manhaj atau cara terbaik untuk aku guna pakai dalam usaha untuk ‘menyambung lidah Rasulullah SAW’ selari dengan dunia kontemporari kini. Dengan kekangan waktu dan kudrat yang ku miliki, dan jua amanah-amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas pundakku, aku berasa sungguh lesu dan kaku. Stress kadang-kadang. Aku termenung…
Tiba-tiba muncul satu skrin putih yang besar secara mengejut dihadapanku. Tergamam aku dibuatnya. Mataku terpaku tepat pada skrin itu. Pada skrin itu, muncul seorang lelaki yang tampak segak sekali dengan Tuxedo yang dipakainya. “Wah ala-ala Jackie Chan plak mamat nie”. Aku bermonolog seorangan. Kemudian lelaki itu melemparkan satu senyuman yang cukup mesra kepadaku. “Assalamualaikum wahai pemuda”, sapa lelaki itu. Tanpa melengahkan masa, lelaki itu mula berbicara..
“Wahai pemuda,
Saya panjatkan kesyukuran kepada Allah, tiada tuhan melainkan Dia. Saya juga mengucapkan selawat dan salam buat junjungan kita Muhammad, imam orang-orang soleh, pemimpin para mujahid dan juga buat keluarga baginda, para sahabat serta para tabiin.
Wahai pemuda,
Suatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merialisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya, asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatan yang tersendiri,.setiap gagasan ada pendokong panjinya.
“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka hidayah petunjuk”. (Al-kahfi: 13)
Dengan ini bermakna kewajipan kamu banyak, tangungjawab kamu berat dan terlalu banyak hak bangsa kamu yang perlu kamu tunaikan. Ini bermakna amanah yang kamu pikul adalah berat. Kamu perlu berfikir semasak-masaknya, kamu perlu berusaha lebih, kamu perlu menentukan pendirian kamu, kamu perlu mara sebagai penyelamat. Kamu perlu tunaikan segala hak ummah dengan segala keistimewaan yang kamu miliki sebagai pemuda.
Ada pemuda yang lahir dalam sebuah bangsa yang hidup aman sejahtera. Bangsa ini memiliki kuasa yang mantap dan kemajuannya melimpah ruah. Pemuda yang lahir dalam suasana ini lebih mementingkan diri sendiri daripada memeningkan nasib bangsanya. Dia akan sentiasa berhibur dan berseronok dengan jiwa yang tenang dan selesa.
Ada pemuda yang lahir dalam sebuah bangsa yang sedang berjuang kerana bangsanya sedang dijajah. Musuh menentukan segala nasib bangsanya. Bangsanya sedang berjuang bermati-matian untuk mengembalikan hak mereka yang telah dinafikan, khazanah mereka yang telah dirampas, kebebasan mereka yang telah lenyap termasuklah kegemilangan dan kedudukan mereka. Ketika itu keutamaan pemuda ialah mementingkan nasib bangsanya lebih daripada mementingkan nasib dirinya sendiri. Jika kewajipan ini berjaya dilaksanakan, dia bakal beroleh kejayaan dunia dengan menerima kemenangan di medan perjuangan dan dia akan beroleh kejayaan akhirat dengan menerima ganjaran daripada Allah. Barangkali kita bernasib baik kerana berada bersama golongan kedua. Kita berpeluang melihat sebuah bangsa yang sedang berjuang dan bekorban untuk memperolehi hak kebebasan. Bersedialah wahai para pejuang kerana kemenangan sangat hampir dengan orang-orang beriman dan kejayaan besar akan diperolehi oleh orang-orang yang berusaha tanpa henti.,
Wahai pemuda,
Barangkali faktor yang paling kritikal bagi sesebuah bangsa yang sedang membangun ialah wujudnya pelbagai aliran dengan pelbagai dakyah, wujudnya pelbagai pendekatan dengan pelbagai strategi dan cara kerja serta wujudnya perebutan untuk menjadi pemimpin dan ketua. Semua faktor ini hanya memecahbelahkan segala tumpuan serta kekuatan dan tidak mungkin membawa kepada matlamat yang diingini. Atas dasar ini, langkah mengkaji dan menilai segala aliran ini merupakan suatu yang perlu dilakukan oleh mereka yang mahukan perubahan.”
“Allahuakbar Allahuakbar..Allahuakbar Allahuakbar..”
“Ashadun’allaa ilaa haillallah….”
Aku tersentak dek azan yang dilaungkan oleh muaazin. “Oh, dan masuk waktu isyak rupanya”, aku berbisik.
Tiba-tiba, lelaki itu menghilangkan dirinya bersama-sama skrin besar yang ada di hadapanku. Aku tercengang.. “ Kemana lelaki tersebut?”, aku tertanya-tanya lagi.
Rupa-rupanya baru kusedar, aku mengelamun…
Read more...
Thursday, June 12, 2008
BICARA PIMPINAN
"Terlalu banyak istilah digunakan bagi mengatakan tentang kepimpinan. Ada yang menggunakan istilah Pemerintahan. Ada yang menggunakan istilah Kekuasaan. Ada pula yang menggunakan istilah Pentadbiran seperti Pentadbiran Carter (Carter Administration) dan sebagainya. Bagi pemimpin pula, ada yang menggelarkan diri mereka Presiden. Ada yang menggelarkan diri mereka Raja. Ada Perdana Menteri, Chairman dan bermacam-macam lagi.
Akan tetapi walaupun semua mereka ini berkuasa dan dianggap sebagai pemimpin di negara mereka masing-masing, mereka sebenarnya tidak memimpin dalam erti kata yang sebenarnya. Mereka hanya menyusun dan mentadbir hal-hal yang bersangkutan dengan ekonomi, perumahan, pembangunan, keselamatan sosial, pelajaran, pengangkutan, kesihatan dan yang seumpamanya . Mereka hanya terlibat dengan hal-hal yang menyentuh kehidupan lahiriah rakyat dan yang memenuhi keperluan dan kehendak fizikal dan material rakyat semata-mata.
Kepimpinan seperti ini tidak banyak bezanya dengan menggembala lembu dan kambing. Disediakan kandang, diberi makan minum atau disediakan padang ragut, dijaga keselamatan haiwan-haiwan tersebut supaya tidak diserang oleh musuh dan kalau sakit, dipanggil doktor haiwan untuk merawatnya. Memimpin manusia bukan seperti menternak lembu atau kambing. Bukan setakat memberi mereka rumah, makan minum, hiburan, khidmat kesihatan dan kemudian membiarkan mereka membiak dan beranak-pinak.
Kalau kita lihat dan halusi betul-betul istilah kepimpinan itu sendiri, ia membawa maksud yang lebih dalam dan luas dari hanya menjaga, menyusun dan mentadbir hal-hal fizikal dan keperluan hidup. Memimpin itu ada sangkut-paut dengan membimbing, mendidik, menunjuk ajar dan membina peribadi dan akhlak rakyat yang banyak berkait dengan soal roh dan jiwa mereka .
Tidak hairanlah mengapa manusia di seluruh dunia ini tidak terpimpin. Tidak ada orang yang memimpin mereka. Pemimpin-pemimpin mereka sendiri pun tidak menjalankan tugas memimpin ini. Malahan pemimpin-pemimpin mereka pun tidak terpimpin. Kalau kita lihat negara-negara yang bukan Islam, walaupun rakyat mereka tidak dipimpin, namun keperluan lahiriah mereka sangat tersusun dan mereka sangat mewah dari segi material.
Di kebanyakan negara-negara umat Islam pula, bukan sahaja rakyatnya tidak dipimpin, keperluan lahiriah atau material rakyat sangat kurang dan pentadbirannya lemah dan kucar-kacir. Ini sudah dua kali malang. Bukan sahaja soal material tidak selesai, soal rohani pun terabai. Macam orang kena penyakit barah dan leukimia pada masa yang sama. Kedua-duanya berbahaya dan boleh membawa maut.
Memimpin itu melibatkan soal keinsanan dan kemanusiaan. Apabila tidak dipimpin, rakyat akan jauh dari Tuhan. Mereka akan jauh dari kebenaran. Mereka akan jauh dari petunjuk dan hidayah. Jiwa mereka akan kosong dari keimanan dan ketaqwaan. Fitrah mereka akan rosak. Keinsanan mereka akan rosak. Akhlak mereka juga akan rosak. Mereka akan hilang panduan dan matlamat hidup. Dunia akan masuk ke dalam hati-hati mereka. Mereka akan lupa Akhirat. Mereka akan hanya terangsang dan merasa ringan dengan hal-hal dunia dan akan merasa susah, berat dan tertekan dengan hal-hal Akhirat. Nafsu mereka akan menggila dan menjadi tidak terkawal.
Mereka akan rakus dan tidak puas mengejar dunia. Sudah ada sepuluh biji kereta mewah, mereka mahu sepuluh lagi. Sudah ada sepuluh buah rumah mansion, mereka mahu sepuluh buah lagi. Nampak laut, mahu luxury yacht. Nampak ruang udara mahu private jet. Mereka tidak ada rasa bersalah. Buatlah apa maksiat pun, mereka tetap merasa megah. Mereka tunduk kepada hawa nafsu mereka dan akan merebut dunia ini semahu-mahunya. Mereka mengangkat nafsu-nafsu mereka menjadi Tuhan mereka.
Bila ini berlaku dan nafsu amarah bermaharajalela dalam diri mereka, maka hati-hati mereka akan menjadi gelap. Jiwa mereka akan mati. Mata hati mereka akan jadi buta. Sukar untuk mereka merasa berTuhan. Sukar untuk mereka melihat kebenaran. Akhirat itu jadi kecil dan tidak penting bagi mereka. Bagi mereka, dunialah segala-galanya.
Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan bermacam-macam sifat mazmumah yang keji. Mereka akan jadi pencinta dunia. Mereka akan gila dunia. Mereka akan jadi hamba dunia. Mereka tidak akan nampak lagi halal haram, baik buruk, patut tak patut, sah atau batal. Apa sahaja yang mereka inginkan, mereka akan ambil. Apa cara pun akan digunakan. Bagi mereka matlamat menghalalkan cara. Mereka akan menjadi ego, sombong dan angkuh. Hati-hati mereka akan dipenuhi dengan sifat-sifat pemarah, bakhil, hasad dengki, tamak haloba, penting diri, besar diri dan mereka akan hidup nafsi-nafsi. Macam pokok dalam hutan. Masing-masing hendak meninggikan pucuk masing-masing.
Yang sedihnya, bukan sahaja rakyat biasa yang jadi begini. Pemimpin lebih-lebih lagi. Kalau begitu, siapa yang akan memberi tunjuk ajar. Siapa yang akan melarang. Pemimpin sendiri membawa contoh negatif yang diikuti oleh rakyat. Lama-lama ia jadi budaya. Sukar untuk diubah. Inilah puncanya mengapa tidak wujud perpaduan. Inilah sebabnya tidak wujud kesatuan. Tidak wujud kasih sayang di kalangan manusia.
Manusia asyik merebut-rebut dunia dan khazanah negara macam anjing merebut bangkai. Sambil merebut bangkai, bergaduh dan menggigit-gigit sesama sendiri. Timbul krisis. Berlakulah pergaduhan dan perbalahan. Terjadilah tindas menindas, tekan menekan dan jatuh menjatuh. Inilah juga puncanya mengapa maksiat dan jenayah berleluasa di kalangan manusia. Menipu, mencuri, merompak, menculik, merogol, membunuh dan macam-macam lagi. Ini jugalah puncanya akhlak dan moral manusia jatuh menyapu bumi. Rupa macam manusia, tamadun lahiriah dan pembangunan hebat tetapi nilai, moral, akhlak dan cara hidup tidak ada beza dengan haiwan. Inilah akibatnya apabila pemimpin tidak memimpin. Inilah akibatnya bila tumpuan hanya diberi kepada keperluan hidup lahiriah manusia semata-mata. Kepada ekonomi, kepada pembangunan dan kepada kemajuan.
Inilah akibatnya bila roh dan jiwa manusia diabai dan tidak dididik dan dibimbing. Tidak diisi dengan ketuhanan dan cinta Akhirat. Tidak diisi dengan keimanan dan ketaqwaan. Rakyat jadi rosak. Masyarakat jadi rosak. Negara jadi rosak. Akhirnya seluruh dunia jadi rosak. Pemimpin yang tidak memimpin hanya mencipta neraka di dunia.
Dia membina huru-hara dan kacau-bilau. Dia mencipta kesusahan dan kesengsaraan. Dia membawa kebimbangan, keresahan dan ketakutan di dalam hidup manusia. Dia merosakkan perpaduan. Dia memecah-belah. Dia memusnahkan kasih sayang. Dia menghijab dan mendinding manusia dari rahmat dan kasih sayang Tuhan. Dia merosakkan akhlak rakyat. Dia memusnahkan kemanusiaan dan keinsanan rakyat.
Pemimpin yang tidak memimpin sebenarnya membawa terlalu banyak kerosakan kepada rakyat. Deritanya bukan sahaja di dunia bahkan akan dibawa ke Akhirat. Lebih-lebih lagilah pemimpin yang menyuruh, menggalakkan dan menganjurkan manusia membuat maksiat dan kemungkaran. Yang menyuruh manusia melanggar dan membelakangkan syariat. Pemimpin yang meremehkan agama dan menghalang manusia beragama. Pemimpin yang menghalang manusia menuju Tuhan.
Yang menyusahkan urusan agama manusia. Kemusnahan dan kerosakan bukan sahaja akan berlaku dengan lebih cepat bahkan akan berlaku dengan lebih dahsyat. Lebih baik manusia beruzlah untuk melindung dan memelihara diri dan iman masing-masing dari berada di bawah pemerintahan pemimpin yang seperti ini.
Di Akhirat nanti, setiap pemimpin itu akan disoal tentang apa yang dia pimpin. Lebih-lebih lagilah pemimpin negara. Tanggungjawabnya bukan setakat mengadakan rumah, makan minum, menjaga kesihatan, keselamatan atau mengadakan segala keperluan lahir rakyat. Itu semua perkara kecil. Perkara remeh. Yang besarnya ialah tentang iman, amalan dan peribadi rakyat. Tentang aqidah, ibadah dan akhlak rakyat. Sudahkah dia mendidik, membimbing dan menunjuk ajar rakyat. Sudahkah dia membawa rakyat kepada Tuhan dan merapatkan rakyat dengan agama. Sudahkah dia mensejahterakan hati dan rohani rakyat.
Kesejahteraan fizikal dan lahiriah tidak ada makna apa-apa tanpa kesejahteraan rohani. Kesejahteraan lahiriah tetap akan membawa kepada huru-hara, kacau-bilau, pergaduhan, perbalahan dan krisis. Kesejahteraan lahiriah semata-mata tetap akan mencetuskan pecah-belah dan benci membenci. Tidak akan wujud perpaduan dan kasih sayang hanya dengan kesejahteraan lahiriah. Keamanan, ketenangan, kedamaian, keharmonian dan kasih sayang akan hanya tercetus bila hati dan rohani rakyat berada dalam keadaan sejahtera. Inilah sebenarnya tanggungjawab pemimpin.
Mensejahterakan dan menenangkan hati dan rohani rakyat dengan mengembalikan mereka kepada fitrah mereka. Inilah juga tanda dan isyarat bahawa Allah SWT telah redha dengan pemimpin, rakyat dan negara.
Justeru itu diizinkan negara seperti ini menjadi apa yang difirmankan-Nya:
"Baldatun toyyibatun warabbun ghafur. "
Maksudnya:"Negara yang aman, makmur dan mendapatkan keampunan Allah." (Saba`:15)
Read more...
