Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

" BERAMAL KERANA ALLAH "

Tuesday, November 18, 2008

Tragedi Memali



Memperingati Ulang Tahun ke-23

Tragedi Berdarah Memali

( 19 Nov 1985 – 19 Nov 2008 )

Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik.

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.

Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan dengan hebat.

Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi.

Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim.PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.

Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.

Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur”. Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.

Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu. Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.

Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi tersebut.

Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’, pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri menjawab, “abang ditembak”.

Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus mengahdapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia. Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani para syuhada’. Ada penduduk kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, “ ada lagi yang belum mati”. Semua penduduk kampung disumbat ke dalam trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan diugut agar merahsiakan kejadian.

Gambar As-Syahid Ust Ibrahim Libya (kiri bawah sekali)

Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan sebagai orang mati syahid. Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah, mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para korban diurus sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta pakaian mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah beberapa hari ditembak.

Wajah mereka yang tenang menghadap Allah ditambah pula dengan bau wangi yang dapat dihidu oleh orang-orang yang menguruskan jenazah mereka. Esoknya, media yang dikawal pemerintah pun menyiarkan berita operasi ini dengan versi pemerintah. Ust Ibrahim dan rakan-rakan dicap sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam). Bagi PAS yang mempunyai lidah rasminya sendiri iaitu akhbar Harakah memperbetulkan pula berita tersebut. Selepas itu, ribuan umat Islam dari seluruh pelusuk Malaysia bergegas ke Kg. Memali menyaksikan sisa-sisa dosa pemerintah ke atas pejuang Islam.

Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa klip video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis, radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan. Hari ini, genap 23 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh tersebut. Mereka tidak bersalah. Bahkan seorang demi seorang orang kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.

Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS mengadakan sambutan memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota polis yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu syuhada’ dan memohon kemaafan atas kesilapan mereka. Melihat kepada situasi anggota polis yang sangat sedih dan terkilan dengan kejadian ini yang bukan dengan kerelaan mereka dan sangat terharu dengan sambutan memperingati syuhada’ ini , akhirnya atas nasihat dari pimpinan, sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan. Wallahua’lam.

Al-Fatihah Untuk Para Syuhada’ Memali

Catatan: Sejarah ini saya paparkan semula bukan dengan niat untuk memprovokasi mana-mana pihak, tetapi sekadar ingin mengingatkan semula generasi hari ini khasnya anak muda bahawa kebangkitan perjuangan Islam pada hari ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu yang sejarahnya penuh dengan darah dan air mata. Semuanya demi melihat Islam tertegak. Mudah-mudahan sejarah ini menjadi inspirasi untuk kita terus istiqamah, sabar, dan terus berada diatas landasan ini.

Saya juga memohon maaf sekiranya ada maklumat yang saya sampaikan ini tidak tepat kerana semua ini hanya maklumat dari ingatan saya sahaja. Anda boleh merujuk semula buku yang ditulis oleh Cikgu Non (CN Al-Afghani) yang menulis buku ‘Suamiku Kekasih Allah atau buku terbitan PAS Pusat hasil temuramah dengan Sdr. Yusuf Husein (sekarang pimpinan PAS Kedah) atau VCD Ops Hapus Komunis. Jika ada kesalahan, tolong maklumkan di ruangan komentar dibawah ini. Jazakallahu khairan kathira.





Read more...

Monday, November 17, 2008

Doa Murabbi Untuk Dakwah Islamiyah



YA ALLAH, berikan taqwa kepada jiwa-jiwa kami dan sucikan dia.
Engkaulah sebaik-baik yang, mensucikannya.
Engkau pencipta dan pelindungnya


Ya ALLAH, perbaiki hubungan antara kami
Rukunkan antara hati kami
Tunjuki kami jalan keselamatan
Selamatkan kami dari kegelapan kepada terang
Jadikan kumpulan kami jama'ah orang muda yang menghormati orang tua


Dan jama'ah orang tua yang menyayangi orang muda
Jangan Engkau tanamkan di hati kami kesombongan dan kekasaran
terhadap sesama hamba beriman
Bersihkan hati kami dari benih-benih perpecahan, pengkhianatan dan
kedengkian


Ya ALLAH, wahai yang memudahkan segala yang sukar
Wahai yang menyambung segala yang patah

Wahai yang menemani semua yang tersendiri

Wahai pengaman segala yang takut

Wahai penguat segala yang lemah

Mudah bagimu memudahkan segala yang susah

Wahai yang tiada memerlukan penjelasan dan penafsiran
Hajat kami kepada-Mu amatlah banyak
Engkau Maha Tahu dan melihatnya


Ya ALLAH, kami takut kepada-Mu
Selamatkan kami dari semua yang tak takut kepada-Mu
Jaga kami dengan Mata-Mu yang tiada tidur
Lindungi kami dengan perlindungan-Mu yang tak tertembus
Kasihi kami dengan kudrat kuasa-Mu atas kami
Jangan binasakan kami, kerana Engkaulah harapan kami
Musuh-musuh kami dan semua yang ingin mencelakai kami
Tak akan sampai kepada kami, langsung atau dengan perantara
Tiada kemampuan pada mereka untuk menyampaikan bencana kepada kami

"ALLAH sebaik baik pemelihara dan Ia paling kasih dari segala kasih"


Ya ALLAH, kami hamba-hamba-Mu, anak-anak hamba-Mu
Ubun-ubun kami dalam genggaman Tangan-Mu
Berlaku pasti atas kami hukum-Mu
Adil pasti atas kami keputusan-Mu


Ya ALLAH, kami memohon kepada-Mu


Dengan semua nama yang jadi milik-Mu
Yang dengan nama itu Engkau namai diri-Mu
Atau Engkau turunkan dalam kitab-Mu
Atau Engkau ajarkan kepada seorang hamba-Mu
Atau Engkau simpan dalam rahasia Maha Tahu-Mu akan segala ghaib
Kami memohon-Mu agar Engkau menjadikan Al Qur'an yang agung
Sebagai musim bunga hati kami
Cahaya hati kami
Pelipur sedih dan duka kami
Pencerah mata kami


Ya ALLAH, yang menyelamatkan Nuh dari taufan yang
menenggelamkan dunia


Ya ALLAH, yang menyelamatkan Ibrahim dari api kobaran yang
marak menyala



Ya ALLAH, yang menyelamatkan Musa dari kejahatan Fir'aun dan
laut yang mengancam nyawa


Ya ALLAH, yang menyelamatkan Isa dari Salib dan pembunuhan
oleh kafir durjana


Ya ALLAH, yang menyelamatkan Muhammad alaihimusshalatu
wassalam dari kafir Quraisy durjana, Yahudi pendusta, munafik
khianat, pasukan sekutu Ahzab angkara murka


Ya ALLAH, yang menyelamatkan Yunus dari gelap lautan, malam,
dan perut ikan


Ya ALLAH, yang mendengar rintihan hamba lemah teraniaya
Yang menyambut si pendosa apabila kembali dengan taubatnya
Yang mengijabah hamba dalam bahaya dan melenyapkan prahara


Ya ALLAH, begitu pekat gelap keangkuhan, kerakusan dan dosa
Begitu dahsyat badai kedzaliman dan kebencian menenggelamkan dunia
Pengap kehidupan ini oleh kesombongan si durhaka yang membuat- Mu murka
Sementara kami lemah dan hina, berdosa dan tak berdaya


Ya ALLAH, jangan kiranya Engkau cegahkan kami dari kebaikan
yang ada pada-Mu karena kejahatan pada diri kami


Ya ALLAH, ampunan-Mu lebih luas dari dosa-dosa kami
Dan rahmah kasih sayang-Mu lebih kami harapkan daripada amal
usaha kami sendiri


Ya ALLAH, jadikan kami kebanggaan hamba dan nabi-Mu

Muhammad SAW di padang mahsyar nanti
Saat para rakyat kecewa dengan para pemimpin penipu yang memimpin dengan kejahilan dan hawa nafsu
Saat para pemimpin cuci tangan dan berlari dari tanggung jawab
Berikan kami pemimpin berhati lembut bagai Nabi yang menangis dalam sujud malamnya tak henti menyebut kami, ummati ummati,ummatku ummatku
Pemimpin bagai para khalifah yang rela mengorbankan semua kekayaan demi perjuangan
Yang rela berlapar-lapar agar rakyatnya sejahtera
Yang lebih takut bahaya maksiat daripada lenyapnya pangkat dan kekayaan


Ya ALLAH, dengan kasih sayang-Mu
Engkau kirimkan kepada kami
da'ie penyeru iman kepada nenek moyang kami penyembah berhala
Dari jauh mereka datang kerana cinta mereka kepada da'wah
Berikan kami kesempatan dan kekuatan, keikhlasan dan kesabaran
Untuk menyambung risalah suci dan mulia ini
Kepada generasi berikut kami
Jangan jadikan kami pengkhianat yang memutuskan mata rantaikesinambungan ini
Dengan sikap malas dan enggan berda'wah
Kerana takut rugi dunia dan dibenci bangsa


::Doa yang dilafazkan beliau di satu perhimpunan di Lapangan Masjid Agung Al-Azhar Jakarta,19 Ogos 1998 yang mana diiringi tangisan ribuan mereka yang berkumpul::



Read more...

Saturday, November 15, 2008

Matangkan FIKRAH ISLAM

Fikrah Islam atau fikrah kita ialah ajaran Allah,yang lengkap yang sempurna, syumul dan merangkumi seluruh kehidupan mukmin.
Inilah Islam, Addeen yang ditanzilkan atau diturunkan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan dilaksanakan di zaman awal. Allah Taa'la telah menjelaskan dan menegaskan tentang kesempurnaan Islam di dalam FirmanNya :
‘pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu’ surah al-maidah:2

Oleh kerana Dienul Islam telah sempurna maka kita tidak boleh menambah atau mengurangkannya, begitu juga kita tidak boleh mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Hendaklah kita sedar bahawa kita adalah pengikut dan penganut Dienul Islam dan mengakui sebagai hamba Allah, dan kita bukannya pencipta Deen . Oleh yang demikian kitalah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam dan bukannya Islam itu harus bersesuaian dengan selera kita, kehendak kita dan kemahuan masyarakat seperti firman Allah:

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini ,nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.Mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta terhadap Allah." (Al-an'am-116)

Nilai kita ialah nilai Islam, iaitu nilai yang telah ditetapkan Allah dan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W oleh yang demikian kita sedikitpun tidak boleh tidak redha pada syariat Islam.
Tasawwur Islami hendaklah difahami dengan betul. Kita hendaklah bersifat jiddiah (serius) di dalam memahami Islam dan tidak mencampur adukan dengan isme-isme lain.


Untuk itu kita hendaklah mengenal Islam dan mengenali jahiliyyah, mengenal Islam untuk dihayati dan mengenali jahiliyyah untuk dijauhi. Kita hendaklah mengenal setiap rupa, bentuk dan tektik jahiliyyah untuk dijauhi. Dengan itu barulah kita dapat membezakan yang mana Islam dan yang mana bukan Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:


"Barangsiapa mengenal / mempelajari bahasa sesebuah kaum maka mereka terselamat dari tipu daya mereka".

Kita juga mesti mengenal realiti agar kita tidak salah faham, seperti mengatakan loteri kebajikan itu halal. Di dalam memahami Islam dan realitinya kita sememangnya kurang ilmu, oleh itu kita perlu berjama'ah. Kita sememangnya tidak mempunyai ilmu yang serupa. Tetapi dengan harakah kita mampu mengatasinya.

Satu lagi sikap yang mesti ada ialah kita jangan mudah menerima sesuatu yang bukan Islam, jangan mudah terpengaruh dengan istilah dan teknik atau slogan yang menarik seperti. Demi pembangunan, demi kemajuan dan Malam 'Amal. Dalam hal ini kita hendaklah mengenengahkan fikrah Islam dengan jelas dan pendirian Islam yang tegas kepada masyarakat.

Kita juga mesti mempunyai al-wa yu al-Islamiyy (kesedaran Islam). Ianya bukan sama dengan ilmu Islam. Dalam usaha memperolehi 'kesedaran Islam' perlu kepada kesabaran, tekun dan gigih dalam usaha. Seorang yang mempunyai 'kesedaran Islam' akan mudah terasa dan sensitif terhadap apa jua yang bercanggah dengan Islam.

Untuk itu kita perlu kepada didikan atau 'tarbiyyah'. 'Tarbiyyah' yang boleh melahirkan syakhsiyyah atau keperibadian muslim sejati.
Seorang mujahid Islam, Al-Ustaz Fathi Yakan menyatakan p embentukan sahsiyyah itu hanyalah dapat dibentuk di dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Umpamanya dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima' dan sebagainya.

Seorang muslim hendaklah tidak menghilangkan satu fikrah Islam pun dari pemikirannya. Siapa yang cuba menyembunyikan fikrah Islam adalah dikira menyeleweng. Ingatlah bahawa fikrah yang kita bawa adalah deen ditanzilkan oleh Allah S.W.T. Addeen yang dimaksudkan di sini bukanlah Addeen yang diterjemahkan kepada agama, sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang.

Keaslian Islam hanyalah boleh dilihat dari sumber asalnya iaitu Al-Quran dan Al-Hadith dan juga dari ulama' dan mujahid Islam yang mu'tabar. Seterusnya Allah berfirman :
Allah telah memberi kata putus dan memberi pilihan samada beriman atau tidak, sebagaimana firmannya :

Ertinya : "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; (Al-Kahfi : 29)

Kita hendaklah memikir terus dan jauh sehingga hari qiamat. Oleh kerana kita tidak tahu di manakah tempat kita samada syurga atau neraka. Ketidaktahuan ini jua hendaklah kita punya sifat takut dan harap.Takut ialah bagi yang mengenalinya dan harap bagi yang melaksanakannya. Iltizam kita pada Islam hendaklah pada setiap masa dan tidak pada majlis rasmi sahaja. Untuk ini juga kita perlu 'kesedaran Islam yang jelas' dan bukannya ilmu semata-mata. Ilmu sahaja tanpa kesedaran tidak dapat membawa kepada Islam ... individu.Dalam konteks masyarakat ialah yang menghayati Islam sepenuhnya.

Ilmu-ilmu Islam hendaklah diproses dan diolah melalui acuan iman/tarbiyyah iman sehingga lahir kesedaran dan ingin melaksanakan Islam, dengan patuh. Kesedaran fikiran sahaja tidak mencukupi tetapi tetapi haruslah iltizam dengan Islam. Ertinya di mana sahaja kita berada, kita membawa Islam. Ini juga bererti peribadi kita menterjemahkan Islam .... Islam menjadi darah daging.

Namun begitu kita tidak dapat nafikan dalam proses tersebut masih terdapat lagi saki baki jahiliyyah. Pernah Abu Zar memanggil Bilal dengan panggilan 'Ibnu Assauda'. Bilal memberitahu Rasulullah S.A.W dan Nabi kemudiannya berkata kepada Abu Dzar bahawa ia masih ada saki baki jahiliyyah. Disuruh balas dengan memijak pipinya.

Hendaklah Islam itu menjadi pendorong kita dalam melakukan gerak kerja samada membuat yang baik dan meninggalkan yang dilarang, jangan sekali didorong oleh kepentingan politik, kumpulan, parti, pangkat, bintang dan sebagainya.


Read more...

Thursday, November 13, 2008

Melabuhkan Tirai


"Tepat pukul 5.00 petang. Semua pelajar diminta untuk meletakkan pen. Semua kertas jawapan sila letakkan disebelah kanan meja. Sesiapa pun tidak dibenarkan 'chat ' dengan rakan sebelah"


Begitulah kata-kata terakhir dari dewan peperiksaan ( DC) hari ini. Hati ana terasa kesyukuran yang teramat sangat atas anugerah ini. Setiap saat semasa tadi digunakan dengan sebaik yang mungkin. Ilham dan idea seakan dihamparkan didepan mata dalam setiap soalan yang diberikan.


Tiada kata yang boleh aku luahkan, tiada apa harta untuk aku membayarnya. Hanya rasa kesyukuran yang teramat kepada MU ya Allah.


Sem ini berlalu dengan penuh suka dan duka. Tarbiah yang Allah berikan kepada ana cukup memberikan kesan terhadap pemikiran dan mengugat prinsip ana. terlalu banyak pengajaran yang Allah berikan pada ana.

Mulanya, ana hampir tersungkur kerana macam tak sanggup menghadapi tarbiah ini. Dengan sokongan sahabat-sahabat perjuangan, ana bangkit untuk memulihkan kembali semangat ana untuk meneruskan jihad di medan ilmu ini.


Ya Allah terima kasih kerana mengurniakan daku sahabat yang memahami. Hanya engkau yang mampu membalasnya



Read more...

Cinta Sahabat Seperjuangan


Setelah sekian lama berjauhan ..terasa dekat pula untuk meluahkan beberapa perkara untuk santapan bersama..

DEMAN IMTIHAN sudah berakhir . Tinggal kini bagaimana untuk meneruskan baki semester yang akan datang Tidak sabar rasanya nak bersama keluarga di kampung halamam...kepulangnku yang dinanti pastinya dengan seribu persoalan perlu ku rungkaikan.


Kepada sahabat yang... Single/Solo/Kesepian.......

Cinta layaknya seperti seekor rama-rama, semakin kalian mengejarnya, semakin jauh ia terbang meninggalkan kalian. Biarkan 'rama-ramamu' terbang kemana saja ia suka, siapa tahu, bila ia lelah dan tidak sadar akan kewujudanmu, ia bakal mengibaskan sayapnya kearahmu, menumpang teduh dari panas hujan badai duniawi dalam keadaan yang kau tidak sangka. Mungkin saja 'rama-rama' yang kau kejar itu, bukan 'rama-rama' yang Allah peruntukkan buatmu :))

Cinta bisa membuatmu bahagia, tapi most of the time, cinta itu sifatnya melukakan. Digenggam kau luka, dilepas kau hiba. Cinta cuma membahagiakan, bila ia dikembalikan pada Allah, dan dicurahkan pada yang berhak. Jangan terburu-buru, perlahankan rentakmu, semoga Allah mengetuk pintu hatimu dengan cinta yang tulus. Ameen ya Rabb........

Dan lagi.. siapa tahu, cinta itu tidak sampai-sampai kepadamu, kerana mungkin kau tidak mampu memikul beban cinta, itu petanda Allah sayangkan dirimu. mungkin saja Allah ingin mengelakkan kau terjerumus dari maksiat2 cinta yang banyak menyebabkan manusia dihumban kenerana Jahannam.. Naudzubillah...

Kepada sahabat-sahabat yang.. "Not So Single"/"Sudah Berpunya"

Cinta itu satu ujian. Selamanya anda bercinta, anda diuji dengan ujian-ujian yang getir. Anda mungkin tidak menyedari kehebatan ujian yang Allah sediakan saat anda menyambut cinta seseorang. Tapi ketahuilah, pandangan mata, pengucapan kata, luahan hati, khayalan2 mu saat kau menunggu matamu lelap, lintasan2 perasaan yang halus, tiap angan-angan, setiap baris sms dan segala yang anda lalui bersama'nya' adalah satu ujian dari Allah. Bagaimana anda mengarahkan cinta yang Allah anugerahkan itu agar Dia tidak melaknatmu, agar cinta itu bebas dari noda dan dosa?

Jangan pernah terangsang dengan nuansa cinta romantisme dari barat. Setiap dari kita perlu menjawab dihadapan Allah kelak. Semoga cinta yang dilontarkan pada hati2 kalian bakal mendekatkan kalian pada Rabbul Izzati.. Ameen ya Rabb.....

Saat cinta itu ditarik dari kalam hatimu atau hatinya, ketahuilah bahawa ada hikmah disebalik segala perancangan Allah. Mungkin saja ALlah lontarkan sekelumit perasaan benci itu sebagai ujian, atau mungkin saja kerana dia bukan lagi jodohmu. Redhalah.. semoga Allah redha padamu.

Kepada sahabat-sahabat yang.. "Play Girl, Play Boy.."

Jangan pernah mengucapkan kata-kata cinta jika anda tidak merasainya.
Jangan pernah berkisah tentang perasaanmu yang indah tapi palsu, jika ianya tidak ada disana.

Jangan pernah menyentuh kehidupannya, jika yang kau niatkan hanya untuk merosakkan satu hati.

Jangan pernah membuatnya jatuh cinta padamu, jika kau tidak mampu menyambutnya.

Kepada sahabat-sahabat yang... Telah berkahwin..

Semoga Allah melimpahkan rahmat pada kalian dengan zuriat yang ramai. Semoga zuriat kalian bakal menjadi penyambung lidah Nabi, semoga jundullah kecil itu bakal menjadi para pejuang agama, meredah taufan menongkah arus. Semoga jodoh kalian berpanjangan, dan semoga kalian menjadi tongkat kepada pasangan-pasangan anda. Semoga segala khilaf didalam rumahtangga anda menjadi 'murabbi' kehidupan yang fana ini. Semoga lidah anda fasih memohon maaf dan bisu dari berkata kasar. Semga anda dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, serta diakhiri dengan pengakhiran yang baik.

Kepada sahabat-sahabat yang... Berpatah Hati/HeartBroken

Kelukaan hati cuma berlarutan/berpanjangan.. selama mana anda membiarkan hati anda merasakan sedemikian. Kedalaman luka hati anda, akan berterusan selagi mana anda membiarkan pisau itu menancap hati anda. Cabarannya bukan saja bagaimana anda bangkit dari luka itu, tapi bagaimana anda melihat luka hati anda dari sisi yang lain, dan bagaimana anda mengambil pengajaran dan teladan dari apa yang berlaku. Biawak tidak akan jatuh pada lubang yang sama, Pisang tidak akan berbuah dua kali, melainkan jika anda benar-benar bodoh dan tidak siuman.

Perasaan yang hiba, sendu yang berpanjangan, penyesalan yang menggunung, mungkin saja kafarah dari dosa-dosa yang anda lakukan sewaktu anda dibuai dengan perasaan cinta yang enak. Itu juga satu ujian, bagaimana anda berlapang dada dengan apa yang terjadi, dan bersegera kembali pada Allah dan muhasabah diri anda. Sabar itu adalah kunci segala pintu yang tertutup.

Kepada sahabat-sahabat yang... Naive/Tidak pernah bercinta/Ragu-ragu dengan Cinta....

Jatuh cinta, tapi jangan pernah bercinta. Keduanya beda, laksana langit dan bumi. Konsisten dengan perasaanmu, banyakkan beristighfar, dan jangan terlalu persistant. Berkongsi sejauh mana syariat Allah membenarkan, dan pintalah sejauh mana syariat Allah mengizinkan. Memahami pengertian cinta, bukan dengan nuansa yang disajikan dari musuh-musuh ALlah, tapi pengertian sebenar, dikembalikan pada Quran dan Sunnah. Saat cinta melacak rongga sukmamu, saat cinta merenggut ragamu, carikan pengobatannya didalam helai-helaian Qalamullah, bukan dari deretan sms. Obatnya ada didalam kisah-kisah cinta Rasulullah dan para sahabat, bukan didalam kisah-kisah cinta Romeo dan Juliet yang direka oleh sang kuffar.

Ingat sekali lagi, cinta itu satu anugerah, jangan pernah lupa, segalanya adalah UJIAN. Pegang erat Quran dan Sunnah, insyaALlah cinta itu tegar dan tidak membinasakan.

Kepada sahabat-sahabatku sekalian..

Doaku buat sahabat kalian, semoga sahabat dianugerahkan calon acuan Al-Quran, yang dengan cintanya anda semakin bersemangat, semakin gigih berusaha dan bekerja untuk Islam istiqamah dalam perjuangan. Mungkin sahabat semua tidak berasa cinta padanya, tapi doaku, bukannya agar anda mendapat cinta seperti idaman hatimu, tapi agar kau mendapat cinta orang-orang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih dari cintanya padamu. Semoga cinta itu bisa menyelimutimu dari panas api neraka Allah.. Ameen ya Rabb

Read more...

Wednesday, November 12, 2008

Rakaman Kebesaran Ilahi Tiga Burung Berlegar Di Udara

Arruhul Jadid dari Acheh menulis:

"Alhmdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah. Kemusykilan saya mengenai kesohihan berita ‘lawatan’ 3 ekor burung saat tiba jenazah Amrozi dan Ali Ghufron akhirnya terjawab. Jam 01.25 pagi tadi, TRANS TV, Indonesia menyiarkan rakaman 3 ekor burung berlegar di udara diatas ribuan umat Islam yang menyambut ketibaan jenazah mereka. Mungkinkah makhluk Allah ini hadir untuk menyambut roh-roh mereka ? wallahua’lam".

Untuk tonton rakaman kejadian tersebut klik di sini. Terpulang pada pembaca untuk membuat penilaian.Tetapi sebagai muslim ,haruslah kita berlaku adil dan berbaik sangka


Read more...

Monday, November 10, 2008

PENTOMEN ALAM BARZAKH

Berita TV3 menyiarkan bantahan seorang ibu berkenaan tayangan video Alam barzakh yang ditontonkan kepada murid sekolah rendah ketika mengikuti program Bestari Solat. Menurut ibu tersebut kononnya tayangan itu menganggu emosi anak di bawah usia 18 tahun,. Dimaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis terhadap guru agama sekolah rendah Damansara. Ia seorang yang berstatus Dr. saya tak pasti doktor falsafah atau doktor perubatan. Ia ditemani oleh suaminya seorang lelaki inggeris muallaf barangkali. Melihat kepada cara bertudung si ibu pastinya ia bukan seorang yang baik amalan Islamnya.

Berita hari ini pula menyiarkan bantahan sebahagian ibu bapa dan juga guru terhadap pandangan ibu tersebut. Masing masing mempinyai hujah dan alasan tersendiri. Bagi saya alasan dan hujjah masing masing sememangnya dipengaruhi latar belakang khususnya amalan dan pegangan agama.

Saya memiliki salinan video tersebut. Kadang kadang saya menggunakannya ketika memgisi slot kepada remaja khususnya golongan yang bermasalah. Secara jujur, sememangnya pentomen tersebut memberi kesan kepada emosi penontonnya. Malah memang itulah tujuan ia dipersembahkan. Adalah sesuatu yang gagal jika seseuatu persembahan tidak menyentuh emosi penontonnya. Filem Indonesia yang mendapat sambutan ratusan siri seperti Bawang putih Bawang Merah yang kini diulang siarannya adalah kerana ianya menyentuh emosi walaupun rancangan tersebut banyak yang tak masuk akal dan bagi saya yang sesekali mengikutinya merasakan tak ada langsung pengajarannya.

Filem Hindustan dulunya mendapat sambutan kerana berjaya mengkesankan menontonnya. Apakah wajar sebuah pentomen yang sememangnya dibuat untuk menyedarkan serta menginsafkan tidak menyentuh emosi penonton. Barangkali masyarakat kita lebih suka sentuhan emosi khayalan berseronok atau mengalirkan air mata tentang kecewa percintaan sahaja? Bagaimana pula dengan cerita seram dan tahyul yang kini membanjiri industri filem Malaysia. Tidak menganggu emosi Penonton? Kisah Filem Harum Sundal Malam, Hantu Kg Pisang, Kekasih ku seru dan banyak lagi??? Ditayangkan tanpa pengawasan kadangkala. Pentomen Alam barzakh ditayangkan dengan pantauan guru agama!!!

Apakah pengharaman lagu selimut putih suatu ketika dulu akan berulang?? Tidakkah anak menjadi takut meninggalkan solat kerana azab kubur itu sesuatu yang baik??? Atau ada ibu bapa yang ditegur oleh anak kerana tak solat dan menutup aurat rasa tercabar. Penyelesaiannya meminta tayangan itu dihentikan. Apapun kita menanti reaksi dari kementerian Pelajaran. Apakah tekanan golongan Sebegini akan diberikan perhataian?? Entahlah...kuasa guru mendidik dengan hukuman telah dihalang...kini Psikologi tentang janji azab bagi yang derhaka pula dipersoalkan... Kita menanti apakah bentuk generasi kelahiran Kementerian Pelajaran hari ini setelah di ubah dari Kementerian Pendidikan.... Apapun..keputusan yang akan diambil akan menggambarkan sebahagian dari sifat sebenar pemimpin dan masyarakat kita...Tunggulah....


Read more...
Blog Widget by LinkWithin