Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

" BERAMAL KERANA ALLAH "

Tuesday, December 29, 2009

LAWAN VS KAWAL


“Kamu perlu lawan perasaan itu.” Kata seorang naqib sewaktu saya di sekolah dahulu.

Lawan? Kerana lawanlah perasaan tersebut dipendam-pendam. Akhirnya membuak-buak dan pecah. Lalu langsung tidak terkawal apabila di universiti. Itulah yang terjadi kepada beberapa orang rakan saya… Dan juga senior termasuk naqib saya itu.

Sudah beberapa kali saya terserempak dengan beberapa senior sekolah lama saya yang merangkap ketua pelajar mahupun naqib, kini keluar berdua-duaan dengan pasangan.

“Eh, abang dah berkahwin ke? Tak jemput ana pun.” Sengaja saya mengusik. Tersipu-sipu malu mukanya.

“Belum lagi.” Jawabnya ringkas.

Perasaan cinta bukan perlu dilawan. Mengapa perlu dilawan perkara yang sudah menjadi fitrah? Tetapi perasaan cinta itu perlu dikawal. Disalurkan ke tempat yang betul. Dikawal supaya tidak melampau batas-batas yang telah ditetapkan Tuhan.

“Sudah ada ikatan yang sah belum? Jika belum ada cepat-cepat mengikat dengan cara yang sah dan terbaik. Jika masih lama lagi waktunya untuk mengikat hubungan, maka seeloknya berhentikanlah dahulu. Takut-takut nanti jadi jemu dan akhirnya berpisah begitu sahaja. Sekurang-kurangnya bertunanglah…”

Seorang ustaz saya ada menasihatkan, “Siapa kata bertunang tidak boleh berkenal-kenalan dengan pasangan kita itu? Waktu pertunanganlah waktu untuk kita berkenal-kenalan. Islam menyuruh kita memilih pasangan yang sesuai dengan diri kita sebelum kita menikahinya.”


Over Rate Diri Sendiri

“Saya ada menyukai seseorang, dan kami telah berkenalan agak lama. Cuma sekarang saya rasa serba salah. Adakah cara kami ini salah atau betul?” Seorang rakan menyoal saya. Dan saya mengenalinya sebagai orang kuat dalam satu persatuan agama di kampus.

“Apa cara yang kamu rasa salah atau betul itu?” Saya kembali menyoal.

cinta anta anti“Kami tidaklah kerap berjumpa seperti pasangan lain. Kalau berjumpa pun akan ada seseorang menemani. Kami cuma kerap berhubung melalui sms. Itupun sms kami selalunya berkaitan persoalan agama.” Dia cuba menerangkan.

Saya menarik nafas panjang. Kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Dalam hati ingin saja berkata, ’Saya bukanlah seorang yang selalu pergi ceramah agama berbanding dia. Lagikan pula memberi ceramah sana-sini seperti dia. Tetapi tahu jugalah sikit-sikit tentang persoalan ikhtilat(pergaulan) antara lelaki dan perempuan.’

“Dalam diri kita ini tidak kiralah siapa pun, ada satu sifat over rate diri sendiri. Tidak kiralah saya atau pun kamu, turut ada sifat itu.” Saya cuba memulakan penerangan. Berhenti seketika.

“Apa maksud sifat over rate itu?” Belum sempat saya meneruskan, dia menyoal.

“Sifat ini yang membuatkan kita merasakan apa yang kita buat nampak macam betul. Sedangkan bila kita tengok orang lain buat, nampak macam salah. Walhal perbuatan tersebut lebih kurang sama sahaja. Itu yang menyebabkan selalu saya lihat hari itu si dia pergi menegur sepasang remaja yang duduk bersembang, tetapi esoknya saya lihat dia pula berjumpa dengan pasangannya.

Kemudian siap bersembang dalam sms ataupun chatting di YM agak lama. Cuma nampak sahaja seperti lebih baik, tetapi maksud dan tujuannya tetap sama. Tetap dalam bahasa yang selalu kita panggil sebagai ’couple’. Ini kerana kita merasakan diri sendiri itu sudah terlalu baik, jadi apa sahaja yang dibuat dirasakan sebagai tindakan yang betul.” Saya cuba menerangkan sebaik mungkin.

Dia kemudian meminta diri daripada saya. Entah dapat menerima kata-kata saya sebentar tadi ataupun tidak.

Saya bukanlah melarang perbincangan agama melalui sms dan chatting di YM. Perkara yang elok mengapa perlu dihalang. Tetapi perlulah dikawal. Seeloknya bertanya dahulu dengan ustaz atau ustazah, sekiranya tidak berkemampuan bertanyalah kepada rakan yang sejantina terlebih dahulu. Jika tidak dapat juga, barulah bertanya kepada yang berlainan jantina.

Bukanlah salah kalau ia satu keperluan tapi takut-takut kita sengaja cuba mencari ’alasan’ dengan mengadakan perbincangan agama supaya dapat berhubung dengan si dia.

Read more...

Thursday, December 17, 2009

MUKMIN SERBA BARU


Tahun 1430H bakal melabuhkan tirainya. Meninggalkan segalanya dalam lipatan kenangan dan catitan Rakib dan 'Atid. Entah apa komen mereka yang sangat tulus dalam melaksanakan tugas terhadap kita.

Bagi yang merayakan kehilangan 2009, akan menyambut lagi satu perayaan yang pada hemat saya lebih kurang sama.

Kedua-duanya meninggalkan tahun dan menyambut tahun.

Kedua-duanya menuntut koreksi segenap aspek.

Kedua-duanya memperbaharui azam dan perancangan.

Jadi apa istimewanya tahun baru Islam berbanding masihi? Kalau benar Islam sudah lengkap (dan melengkapkan yang lain) seharusnya tak ada dua perayaan yang serupa. Dan tak perlulah merayakan keduanya.
e



APA YANG DITINGGAL BUAT KITA

Sebelum kita melihat sama-beza tahun masihi dan tahun Islam, mari kita selak tirai yang bakal menghijab kita untuk melangkah ke belakang.

Suatu peristiwa yang menarik Allah sediakan buat kita sebelum melangkah lebih jauh. Hari Raya Korban atau Eidl Adha berdiri betul-betul di belakang tirai. Eidl Adha bukan sekadar satu perayaan dan peristiwa, tapi ia juga satu memo awal dari Allah untuk gerak kerja tahun hadapan.

Peristiwa keluarga Ibrahim diisytihar sebagai satu perayaan kerana Allah mahu semua mengambil ibrahnya pada setiap tahun. Kisah lelaki, suami, bapa, pemimpin, wanita, isteri, ibu, madu, serta seorang anak. Kisah yang menjangkau watak walau hanya diwayangkan oleh TIGA manusia. Lengkap untuk semua lapisan manusia.

BIASA YANG LUAR BIASA


Ya, Hajar hanya wanita biasa. Malah tarafnya sebelum dinikahi oleh Nabi Ibrahim adalah hamba, hadiah pemberian Raja Mesir. Selepas dinikahi pun, dia masih biasa. Malahan dia adalah isteri kedua, madu buat Sarah. Tiada apa yang menarik pada Hajar pada asalnya.

Namun Allah pilih dia untuk menerima tarbiyah hebat. Memegang status isteri kedua dan mampu melahirkan anak pasti menimbulkan cemburu buat Sarah, biarpun pada awalnya Sarah yang mengusulkan Nabi Ibrahim untuk memperisterikan Hajar. Mungkin itulah fitrah wanita (saya kata 'mungkin' kerana saya belum bermadu, jadi tak tahu perihal hati wanita yang dimadukan).

Lantas Allah mengilhamkan Nabi Ibrahim untuk membawa keluarganya yang satu itu jauh dari Sarah. Malah jauh dari sekalian manusia. Dan Hajar tak merungut biar sepatah. Dia sanggup mengorbankan haknya untuk tinggal selesa bersama suami tercinta, demi kebahagiaan madunya yang berjasa.

Dibawanya jauh dari kota Kan'an dan seterusnya disuruh tinggal berdua dengan bayinya di tengah lembah Bakkah yang kering. Dan dia masih tak merungut biar arahan itu seakan tak masuk akal dan boleh membahayakan nyawa. Mungkin mati dek tiadanya makanan dan air. Mungkin diculik dan dijual oleh pedagang yang lalu lalang.

Tapi dia tak mengungkap apa.

Yang keluar dari bibirnya hanya pertanyaan, "Ibrahim suamiku, benarkah engkau akan meninggalkan kami sendirian? Benarkah ini perintah dari Allah?" Apabila Nabi Ibrahim mengiyakannya, dia tak tanya apa-apa lagi.

Tak tanya bila suaminya akan datang semula.

Tak persoal adakah tempat itu selamat dihuni atau tidak.

Tak berkata apakah bekalan yang ditinggal.

Hajar meletakkan thiqohnya hanya pada Allah hingga tak terlintas di hatinya sangkaan buruk (suuz dzan) terhadap Allah mahupun suaminya.

Barang siapa menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang pada tali Allah yang kukuh. Dan hanya kepada Allah lah kesudahan segala sesuatu [Surah Luqman: 22]

Disinilah letaknya LUAR BIASA pada wanita biasa seperti Hajar. Kerana lasaknya diri (jiwa) demi Allah, suami, anak dan madunya dia diangkat ke darjat yang tinggi yang tak pernah dia banyangkan.

Juga pada Ismail yang sanggup 'dibunuh' oleh bapanya sendiri sewaktu dirinya masih kecil. Mungkin kita mempertikainya yang Ismail adalah seorang Nabi, jadi dia ada sedikit 'luar biasa'. Tapi hakikatnya dia jua manusia, malah seorang anak kecil yang masih banyak keletah.

Di sini letaknya peranan Nabi Ibrahim sebagai seorang pemimpin keluarga. Dia mampu mencorakkan hati keluarganya supaya benar-benar taat pada Allah. Walau ada ketikanya dia sendiri bermuram duka untuk menyembelih anaknya, tapi anaknya yang bakal 'dibunuh' itu pula yang memujuknya untuk melaksanakan suruhan.

SURAT PEKELILING DARI NYA

Alihkan pandangan kita pada segala gerak laku zahir dan batin sepanjang 2009 dan 1430. Apakah kita sudah layak melihat syurgaNya andai kita dijemput pada malam tahun baru hijrah ini.

Kononnya bangga dengan orang kampung kerana bergelar mahasiswa, tapi bila kita ditarbiyah olehNya, tak kira melalui siapa, pasti ada keluhan meniti dibibir. Kalaupun hebat bibir menahan rasa, tanya pula pada hati. Sedikit sebanyak pasti terasa berat menerima 'hadiah' musibah dariNya.

Maka apakah kita bangga diangkat darjat oleh manusia kerana status mahasiswa padahal kita sendiri meletakkan martabat kita pada tahap lebih rendah dari hamba sahaya kerana mempertikai caturan Maha Pencipta?

Ini berlaku pada anda dan saya. Kita serupa. Maka Allah mengirimkan kita sebuah kisah untuk memandu perjalanan HIJRAH. Pilihan memang terletak pada tangan kita. Samada ingin menerima manual ini ataupun tidak. DIA tak rugi walau sekecil zarah.


SAMA TAPI JAUH BEZANYA

Jadi apa beza tahun baru masihi dengan Islam?

Bezanya ialah dengan Islam kita diberi panduan. Dengan masihi kita masih meraba.

Dengan Islam kita dibawa kepada sirah (kisah keluarga Ibrahim dan perpindahan kaum muslimin membentuk dunia baru Islam). Dengan masihi kita asyik memandang ke depan.

Dengan Islam kita bertahun baru (beraya) sebagai hamba. Dengan masihi kita bergelak gila suka tanpa punca.

Dengan Islam kita dipesan olehNYA untuk BERKORBAN, MENDIDIK JIWA, dan sentiasa BERLAPANG DADA TERHADAPNYA (semuanya mengandungi keperitan!). Dengan masihi kita bongkak menongkah pembaharuan.

Maal Hijrah tidak disambut dengan sia-sia. Kita dituntut untuk membedah segala titik hitam dalam diri supaya tahun 1431 H melihat seorang MUKMIN baru yang bukan sahaja penuh dengan azam tapi juga terkandung ketundukan terhadapNya.

"Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tapi aku masih belum bertaubat. Sedangkan Engkau tidak redha dan aku lupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan untukku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu.

Sesungguhnya pada hari ini aku memohon ampun dariMu, maka ampunilah aku dan segala yang aku lakukan pada tahun ini, yang Engau redhai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya dariMu"


Selamat tahun baru Hijri. Semoga tahun 1431H memperlihatkan manusia (MUKMIN) serba baru. Baru yang semakin ke arahNYA.





Read more...

Sunday, December 13, 2009

Maafkan aku Teman..

Hampir empat Bulan berlalu..Penulis tiada kesempatan untuk menulis dan berkongsi di alam maya. Sehinggalah kesaat ini di penghujung tirai masihi 2009 dan Hijrah 1430 bakal melabuhkan tirainya kesempatan yang ada digunakan sebaik mungkin untuk berkongsi pengalaman sepanjang kehilangan "Post" yang kebiasaanya menggamit seribu pertanyaan dan persoalan...

"Kenapa Nta tidak menulis lagi" Terpa seorang sahabat ." Ana tiada kesempatan untuk itu semua,InsyaAllah ada ruang ana akan guna apa yang ada dengan sebaik mungkin "Rugilah kalau Nta x mahu menulis lagi takut tidak dapat berkongsi idea dan lebih dasyat lagi bila hati sudah mula ada perasaan jemu dengan dunia ini..

Kesaaat ini penulis inginkan SATU PEMBAHARUAN untuk KEMBARA BORNEO Mengembara kedunia MAYA...tunggu post yang seterusnya..untuk KESEKIAN KALINYA saya nukilkan semula untuk semua sahabat yang mengenali penulis untuk merenung semula ...sejauh mana HAMPIRNYA kita denganNya "MUKMIN SERBA BARU"
Read more...

Wednesday, July 8, 2009

Ko-SPIN '09 ASTRO AWANI

Kemuncak Ko-SPIN '09 bakal didedahkan kepada umum apabila pihak ASTRO AWANI sudi memberi ruang kepada GAMIS untuk menjadi tetamu rancangan ASTRO AWANI.

Pada Jumaat ini,(10 Julai) jam 8.15p.m.-8.45p.m. akan disiarkan secara langsung di Agenda AWANI mengenai perbincangan yang bertajuk Pembangunan Holistik Pelajar.

Tetamu jemputan bagi sesi ini akan dihadiri oleh Penasihat Ko-SPIN '09, Dr. Abu Hassan Hasbullah dan Presiden GAMIS, Saudara Mohd Dzulkhairi Mohd Noor

Moga kerancakan agenda Ko-SPIN '09 bakal memberi sinar harapan yang baru kepada sistem pendidikan pada masa akan datang.



Read more...

Tuesday, June 16, 2009

MUSAWAH BUKTI SIS SESAT

Usul yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat Pas Shah Alam ketika sidang Muktamar Pas minggu lalu iaitu mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat dan mengharamkan Sisters In Islam (SIS) jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam mendapat perhatian ramai pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain. Seharusnya usul yang dibentangkan ketika Muktamar Pas minggu lalu tidak dijadikan isu politik oleh pihak-pihak tertentu. Malah, akhbar hari ini mendedahkan tentang bantahan terhadap pengharaman SIS oleh Ketua Pemuda Umno,Wanita Umno Perak dan 322 NGO yang lain.


Tidak dinafikan sejak tertubuhnya SIS pada tahun 1998 , banyak isu yang telah dihangatkan oleh mereka yang kononnya menganggap merekalah ‘heroin’ mewakili kaum Hawa yang membela nasib wanita di Malaysia. Isu pengkid dan yoga yang dimainkan oleh SIS jelas membuktikan mereka adalah golongan yang anti-fatwa dan sekaligus melanggar syariat Islam.


Isu ini adalah soal akidah umat Islam dan bukan isu yang boleh dipolitikkan dan dipandang enteng. Saya amat kesal dengan segelintir parti politik dan NGO yang mengeluarkan kenyataan melulu tanpa melihat ‘wajah’ sebenar SIS yang bertopengkan Islam ini.


Pada 13 hingga 17 Februari yang lalu, sejumlah 250 orang peserta dari 47 buah negara berkumpul di Kuala Lumpur untuk menghadiri Musawah iaitu perhimpunan besar-besaran ‘penganut’ fahaman sesat Islam Liberal di dunia untuk mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang telahpun dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulama’ muktabar.


Mereka yang hadir adalah tokoh Liberalis Muslim yang dipertikaikan oleh ulama’ Islam muktabar termasuklah Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.


Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang dibentangkan semasa perjumpaan dilihat menginterpretasikan semula al-Qur’ān dan al-Hadīth dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Musawah juga mengenengahkan isu hak sama rata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini dipertikaikan dengan melanggar segala syariat yang dibawa oleh al-Qur’ān dan al-Sunnah. Mereka juga telah mendatangkan pernyataan bahawa al-Quran seolah-olah boleh ditafsir oleh sesiapa sahaja walaupun bukan ahlinya.

Al-Quran itu diturunkan kepada manusia dan tiada ada yang rumit untuk mentafsirnya,”

kata salah seorang jemputan hari itu. Bukankah ada ilmu khusus yang dalam memahami tafsir yang disebut ilmu usul al-tafsir yang membicarakan asbab al-nuzul, nasikh wal mansukh, muhkam wa mutashabih dan lain-lain?


Selain itu, SIS juga pernah mempertikaikan Undang-undang Kekeluargaan Wilayah Persekutuan dengan berhujah bahawa undang-undang itu menzalimi wanita. SIS juga menyokong tindakan Amina Wadud menjadi imam dan khatib pada hari Jumaat, berhujah bahawa wanita perlu mendapat hak seperti lelaki sedangkan perbuatan itu dicela oleh seluruh ulama’ dunia. Tidak hairanlah apabila Amina Wadud diberi tangungjawab mengendalikan salah satu bengkel semasa Musawah yang lalu kerana dia adalah ‘Nabi’ SIS ini.


Saya menyeru agar Majlis Fatwa Kebangsaan bertindak segera dan menyiasat tanpa mengambil peduli pandangan serta bantahan dari mana-mana pihak sama ada parti politik mahupun NGO-NGO lain. Saya berfikir hanya dengan kajian serta siasatan dari pihak Majlis Fatwa Kebangsaan sahaja mampu mengembalikan akidah umat Islam yang semakin ‘ketinggalan’. Dan jika hasil kajian dan siasatan pihak yang berkenaan benar, maka SIS perlulah diharamkan dengan serta merta.


Saya juga menyeru individu-individu, pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain supaya bersama-sama dengan Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) dalam meneruskan penentangan terhadap penularan dakyah fahaman Islam Liberal yang telah difatwakan sesat dan menyimpang daripada syariat Islam semasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-74 yang lalu.





Read more...

Thursday, June 4, 2009

" Islam Memimpin Perubahan"

Dapat ucapan dasar penuh Presiden PAS Disni

http://muktamar55.pas.org.my/ucaptama/UDP_BM.pdf



Read more...

Bukan Cinta Biasa

Membantu adik adik PERPPIS dan sahabat yang lain unuk menjayakan KRIS kali ke 4 telalu banyak halangan yang datang kepada penulis.Kesempatan yang ada inipun digunakan dengan sebaik mungkin untuk melangsaikan segala amanah yang tertunggak( AKADEMIK,JAMMAH).Kebetulan ketika posting ini dihasilkan saya berhempas pulas untuk menyiapkan LI untuk fasa yang terakhir. Sebelum bertolak ke Kota kinabalu saya
berkesempatan untuk bersama dengan AJK pengisian KRIS untuk membincangkan satu modul yang cukup menarik tetapi juga turut merunsingkan saya.Modul Cinta? Tercengang saya seketika. Layakkah saya dan sahabat yang lain untuk memodulkan progrm ini seadangkan ramai dikalangan yang tidak sempurna lagi pengabdian cinta. Saya berfikir semula..mudah-mudahan modul ini nanti memberi gambaran sebenar tentang cinta kepada adik peserta.

Bercakap tentang cinta kerana Allah, saya teringat pada seorang sahabat saya yang kini sedang belajar di Mesir. Dia banyak mengajar saya tentang cinta kerana Allah, & itulah sesuci & semulia-mulia cinta.
Ada 2 kisah yang ingin saya kongsi bersama di sini. Bukan kisah cinta biasa. Selamilah;

Kisah 1

“Bersumber dari Raja’ bin Umar An-Nakha’i, dia pernah bercerita:
“Dahulu di kota Kufah tinggallah seorang pemuda tampan rupawan yang tekun dan rajin beribadat, dan dia termasuk salah seorang ahli zuhud. Suatu hari pemuda itu singgah di kalangan kaum An-Nakha’ dan di sana dia bertemu dengan seorang gadis yang cantik. Sejak melihatnya pertama kali, dia pun jatuh hati dan tergila-gila oleh kecantikannya. Demikian juga si gadis yang merasakan hal serupa sejak pertama melihat pemuda itu.

Si pemuda lalu mengutus seseorang untuk meminangnya, tetapi ternyata gadis tersebut telah dipertunangkan dengan putera bapa saudaranya. Mendengar keterangan ayah si gadis itu, mereka berdua menahan beban cinta yang sangat berat. Si gadis tadi kemudian mengutus seorang hambanya untuk menyampaikan sepucuk surat kepada pemuda tambatan hatinya: “Aku tahu betapa engkau sangat mencintaiku, dan kerananya, betapa besar penderitaanku terhadap dirimu sekalipun cintaku tetap untukmu. Seandainya engkau berkenan, aku akan datang berkunjung ke rumahmu atau aku akan memberikan kemudahan kepadamu bila engkau mahu datang ke rumahku.”

Setelah membaca isi surat tersebut, si pemuda kacak itu pun berkata kepada utusan wanita pujaan hatinya, “Kedua tawaran itu tidak ada satu pun yang kupilih! Sesungguhnya aku takut akan seksaan hari yang besar bila aku sampai derhaka kepada Tuhanku. Aku juga takut akan neraka yang api dan jilatannya tidak pernah surut dan padam.” Pulanglah utusan kekasihnya itu dan dia pun menyampaikan segala yang disampaikan oleh pemuda itu. Si gadis lalu berkata, “Selamanya aku belum pernah menemui seorang yang zuhud dan selalu takut kepada Allah SWT seperti dia. Demi Allah, tidak seorang pun yang layak mendapatkan gelaran kemuliaan kecuali dia, sedangkan kebanyakan orang adalah munafik.”

Setelah berkata demikian, gadis itu lalu melepas segala urusan duniawinya serta membuang jauh-jauh segala sesuatu yang berkaitan dengan dunia. Dia pun memakai pakaian dari tenunan kasar dan sejak itu tekun beribadat, sementara hatinya merana, badannya juga kurus oleh beban cintanya yang besar kepada pemuda yang dicintainya. Dan kerinduannya yang mendalam menyelimuti sepanjang hidupnya hingga akhir hayatnya. Setelah gadis itu meninggal dunia, sang pemuda sering pula berziarah ke makamnya. Pada suatu ketika dia bermimpi seakan-akan melihat kekasihnya dalam keadaan yang sangat menyenangkan.

Pemuda itu pun bertanya, “Bagaimana keadaanmu dan apa yang kau dapatkan setelah berpisah denganku?” Gadis kekasihnya itu menjawab dengan menyenandungkan untaian syair: Kasih…cinta yang terindah adalah mencintaimu, sebuah cinta yang membawa kepada kebajikan. Cinta yang indah hingga angin syurga berasa malu burung syurga menjauh dan malaikat menutup pintu.Mendengar penuturan kekasihnya itu, pemuda tersebut lalu bertanya kepadanya, “Di mana engkau berada?” Kekasihnya menjawab dengan melantunkan syair:
Aku berada dalam kenikmatan dan kehidupan yang tiada mungkin berakhir
berada dalam syurga abadi yang dijaga oleh para malaikat yang tidak mungkin binasa
yang akan menunggu ketibaanmu, wahai kekasih.

Pemuda itu kembali berkata kepada kekasihnya, “Di sana aku mohon agar engkau selalu mengingatiku dan sebaliknya aku pun tidak dapat melupakanmu!” “Dan demi Allah, aku juga tidak akan melupakan dirimu. Sungguh, aku telah memohon untukmu kepada Tuhanku juga Tuhanmu dengan kesungguhan hati, sehingga Allah berkenan memberikan pertolongan kepadaku!” jawab gadis kekasihnya itu. Pemuda itu kembali berkata kepadanya, “Bila aku dapat melihatmu kembali?” “Tak lama lagi engkau akan datang menyusulku kemari,” jawab kekasihnya. Tujuh hari sejak pemuda itu bermimpi bertemu dengan kekasihnya, ia meninggal dunia.
Semoga Allah sentiasa mencurahkan kasih sayang-Nya kepada mereka berdua dan mempertemukannya kembali di syurga.”

Kisah 2

Salah seorang sahabat serta jurutulis Rasulullah SAW yang terkenal ialah Abu Hanzalah bin Ar Rabie. Ketika peperangan Uhud meletus beliau baru saja dinikahkan. Oleh karena itu Rasulullah mengecualikan beliau dari turut serta ke medan peperangan. Inilah cara Rasulullah untuk merayakan kebahagiaan sahabat baginda.

Namun ketika Hanzalah terjaga dari tidurnya, beliau mendengar gendang perang dibunyikan begitu kuat sekali.Melalui seorang sahabatnya beliau mendapat berita bahwa tentera Islam mendapat tantangan yang hebat dan dalam keadaan terlalu genting.

Tanpa membuang waktu lagi Hanzalah lalu memakai pakaian perang lalu mengambil pedang. Dia menuju ke medan tempur tanpa sempat mandi junub.

Maka terjadilah pertempuran hebat sehingga banyak dari pihak Islam yang gugur syahid. Pihak musuh telah menyerang dari belakang. Akhirnya Hanzalah turut menjadi korban dalam keadaan sedang junub.

Maka Rasulullah SAW pun melihat mayat Hanzalah dimandikan oleh para malaikat seperti mana tercantum dalam sabdanya: “Aku melihat diantara langit dan bumi para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air dari awan di dalam bejana perak.”
Para sahabat tercengang-cengang mendengar ini. Salah seorang dari mereka, Abu Said Saidi lalu pergi melihat mayat Hanzalah. Wajah Hanzalah kelihatan tenang. Dari rambutnya kelihatan titisan air berlinangan turun.

Sungguh beruntung Hanzalah mendapat layanan yang begitu istimewa dari malaikat. Tidak pernah terjadi dalam sejarah seorang syahid dimandikan dengan cara yang luarbiasa ini. Malahan matinya sebagai syuhada menjadikan ia sebagai penghuni syurga tanpa dihisab.Subhanallah…

Saya membawa 2 kisah ini untuk kita & saya sendiri sama-sama berfikir…adakah kita memberikan cinta pada yang berhak, yakni Yang Maha Benar…& adakah kita memberi hak cinta yang sewajarnya kepada Yang Paling Berhak, atau kita melebihkan yang lain? Wallhualam.
Alhamdulillahi rabbil alamin.





Read more...
Blog Widget by LinkWithin