

Read more...
Skin Design:
Free Blogger Skins
Tahun 1430H bakal melabuhkan tirainya. Meninggalkan segalanya dalam lipatan kenangan dan catitan Rakib dan 'Atid. Entah apa komen mereka yang sangat tulus dalam melaksanakan tugas terhadap kita.
Bagi yang merayakan kehilangan 2009, akan menyambut lagi satu perayaan yang pada hemat saya lebih kurang sama.
Kedua-duanya meninggalkan tahun dan menyambut tahun.
Kedua-duanya menuntut koreksi segenap aspek.
Kedua-duanya memperbaharui azam dan perancangan.
Jadi apa istimewanya tahun baru Islam berbanding masihi? Kalau benar Islam sudah lengkap (dan melengkapkan yang lain) seharusnya tak ada dua perayaan yang serupa. Dan tak perlulah merayakan keduanya.
APA YANG DITINGGAL BUAT KITA
Sebelum kita melihat sama-beza tahun masihi dan tahun Islam, mari kita selak tirai yang bakal menghijab kita untuk melangkah ke belakang.
Suatu peristiwa yang menarik Allah sediakan buat kita sebelum melangkah lebih jauh. Hari Raya Korban atau Eidl Adha berdiri betul-betul di belakang tirai. Eidl Adha bukan sekadar satu perayaan dan peristiwa, tapi ia juga satu memo awal dari Allah untuk gerak kerja tahun hadapan.
Peristiwa keluarga Ibrahim diisytihar sebagai satu perayaan kerana Allah mahu semua mengambil ibrahnya pada setiap tahun. Kisah lelaki, suami, bapa, pemimpin, wanita, isteri, ibu, madu, serta seorang anak. Kisah yang menjangkau watak walau hanya diwayangkan oleh TIGA manusia. Lengkap untuk semua lapisan manusia.
BIASA YANG LUAR BIASA
Ya, Hajar hanya wanita biasa. Malah tarafnya sebelum dinikahi oleh Nabi Ibrahim adalah hamba, hadiah pemberian Raja Mesir. Selepas dinikahi pun, dia masih biasa. Malahan dia adalah isteri kedua, madu buat Sarah. Tiada apa yang menarik pada Hajar pada asalnya.
Namun Allah pilih dia untuk menerima tarbiyah hebat. Memegang status isteri kedua dan mampu melahirkan anak pasti menimbulkan cemburu buat Sarah, biarpun pada awalnya Sarah yang mengusulkan Nabi Ibrahim untuk memperisterikan Hajar. Mungkin itulah fitrah wanita (saya kata 'mungkin' kerana saya belum bermadu, jadi tak tahu perihal hati wanita yang dimadukan).
Lantas Allah mengilhamkan Nabi Ibrahim untuk membawa keluarganya yang satu itu jauh dari Sarah. Malah jauh dari sekalian manusia. Dan Hajar tak merungut biar sepatah. Dia sanggup mengorbankan haknya untuk tinggal selesa bersama suami tercinta, demi kebahagiaan madunya yang berjasa.
Dibawanya jauh dari kota Kan'an dan seterusnya disuruh tinggal berdua dengan bayinya di tengah lembah Bakkah yang kering. Dan dia masih tak merungut biar arahan itu seakan tak masuk akal dan boleh membahayakan nyawa. Mungkin mati dek tiadanya makanan dan air. Mungkin diculik dan dijual oleh pedagang yang lalu lalang.
Tapi dia tak mengungkap apa.
Yang keluar dari bibirnya hanya pertanyaan, "Ibrahim suamiku, benarkah engkau akan meninggalkan kami sendirian? Benarkah ini perintah dari Allah?" Apabila Nabi Ibrahim mengiyakannya, dia tak tanya apa-apa lagi.
Tak tanya bila suaminya akan datang semula.
Tak persoal adakah tempat itu selamat dihuni atau tidak.
Tak berkata apakah bekalan yang ditinggal.
Hajar meletakkan thiqohnya hanya pada Allah hingga tak terlintas di hatinya sangkaan buruk (suuz dzan) terhadap Allah mahupun suaminya.
Barang siapa menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang pada tali Allah yang kukuh. Dan hanya kepada Allah lah kesudahan segala sesuatu [Surah Luqman: 22]
Disinilah letaknya LUAR BIASA pada wanita biasa seperti Hajar. Kerana lasaknya diri (jiwa) demi Allah, suami, anak dan madunya dia diangkat ke darjat yang tinggi yang tak pernah dia banyangkan.
Juga pada Ismail yang sanggup 'dibunuh' oleh bapanya sendiri sewaktu dirinya masih kecil. Mungkin kita mempertikainya yang Ismail adalah seorang Nabi, jadi dia ada sedikit 'luar biasa'. Tapi hakikatnya dia jua manusia, malah seorang anak kecil yang masih banyak keletah.
Di sini letaknya peranan Nabi Ibrahim sebagai seorang pemimpin keluarga. Dia mampu mencorakkan hati keluarganya supaya benar-benar taat pada Allah. Walau ada ketikanya dia sendiri bermuram duka untuk menyembelih anaknya, tapi anaknya yang bakal 'dibunuh' itu pula yang memujuknya untuk melaksanakan suruhan.
SURAT PEKELILING DARI NYA
Alihkan pandangan kita pada segala gerak laku zahir dan batin sepanjang 2009 dan 1430. Apakah kita sudah layak melihat syurgaNya andai kita dijemput pada malam tahun baru hijrah ini.
Kononnya bangga dengan orang kampung kerana bergelar mahasiswa, tapi bila kita ditarbiyah olehNya, tak kira melalui siapa, pasti ada keluhan meniti dibibir. Kalaupun hebat bibir menahan rasa, tanya pula pada hati. Sedikit sebanyak pasti terasa berat menerima 'hadiah' musibah dariNya.
Maka apakah kita bangga diangkat darjat oleh manusia kerana status mahasiswa padahal kita sendiri meletakkan martabat kita pada tahap lebih rendah dari hamba sahaya kerana mempertikai caturan Maha Pencipta?
Ini berlaku pada anda dan saya. Kita serupa. Maka Allah mengirimkan kita sebuah kisah untuk memandu perjalanan HIJRAH. Pilihan memang terletak pada tangan kita. Samada ingin menerima manual ini ataupun tidak. DIA tak rugi walau sekecil zarah.
SAMA TAPI JAUH BEZANYA
Jadi apa beza tahun baru masihi dengan Islam?
Bezanya ialah dengan Islam kita diberi panduan. Dengan masihi kita masih meraba.
Dengan Islam kita dibawa kepada sirah (kisah keluarga Ibrahim dan perpindahan kaum muslimin membentuk dunia baru Islam). Dengan masihi kita asyik memandang ke depan.
Dengan Islam kita bertahun baru (beraya) sebagai hamba. Dengan masihi kita bergelak gila suka tanpa punca.
Dengan Islam kita dipesan olehNYA untuk BERKORBAN, MENDIDIK JIWA, dan sentiasa BERLAPANG DADA TERHADAPNYA (semuanya mengandungi keperitan!). Dengan masihi kita bongkak menongkah pembaharuan.
Maal Hijrah tidak disambut dengan sia-sia. Kita dituntut untuk membedah segala titik hitam dalam diri supaya tahun 1431 H melihat seorang MUKMIN baru yang bukan sahaja penuh dengan azam tapi juga terkandung ketundukan terhadapNya.
"Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tapi aku masih belum bertaubat. Sedangkan Engkau tidak redha dan aku lupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan untukku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu.
Sesungguhnya pada hari ini aku memohon ampun dariMu, maka ampunilah aku dan segala yang aku lakukan pada tahun ini, yang Engau redhai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya dariMu"
Selamat tahun baru Hijri. Semoga tahun 1431H memperlihatkan manusia (MUKMIN) serba baru. Baru yang semakin ke arahNYA.
Usul yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat Pas Shah Alam ketika sidang Muktamar Pas minggu lalu iaitu mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat dan mengharamkan Sisters In Islam (SIS) jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam mendapat perhatian ramai pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain. Seharusnya usul yang dibentangkan ketika Muktamar Pas minggu lalu tidak dijadikan isu politik oleh pihak-pihak tertentu. Malah, akhbar hari ini mendedahkan tentang bantahan terhadap pengharaman SIS oleh Ketua Pemuda Umno,Wanita Umno Perak dan 322 NGO yang lain.
Tidak dinafikan sejak tertubuhnya SIS pada tahun 1998 , banyak isu yang telah dihangatkan oleh mereka yang kononnya menganggap merekalah ‘heroin’ mewakili kaum Hawa yang membela nasib wanita di Malaysia. Isu pengkid dan yoga yang dimainkan oleh SIS jelas membuktikan mereka adalah golongan yang anti-fatwa dan sekaligus melanggar syariat Islam.
Isu ini adalah soal akidah umat Islam dan bukan isu yang boleh dipolitikkan dan dipandang enteng. Saya amat kesal dengan segelintir parti politik dan NGO yang mengeluarkan kenyataan melulu tanpa melihat ‘wajah’ sebenar SIS yang bertopengkan Islam ini.
Pada 13 hingga 17 Februari yang lalu, sejumlah 250 orang peserta dari 47 buah negara berkumpul di Kuala Lumpur untuk menghadiri Musawah iaitu perhimpunan besar-besaran ‘penganut’ fahaman sesat Islam Liberal di dunia untuk mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang telahpun dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulama’ muktabar.
Mereka yang hadir adalah tokoh Liberalis Muslim yang dipertikaikan oleh ulama’ Islam muktabar termasuklah Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.
Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang dibentangkan semasa perjumpaan dilihat menginterpretasikan semula al-Qur’ān dan al-Hadīth dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Musawah juga mengenengahkan isu hak sama rata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini dipertikaikan dengan melanggar segala syariat yang dibawa oleh al-Qur’ān dan al-Sunnah. Mereka juga telah mendatangkan pernyataan bahawa al-Quran seolah-olah boleh ditafsir oleh sesiapa sahaja walaupun bukan ahlinya.
Al-Quran itu diturunkan kepada manusia dan tiada ada yang rumit untuk mentafsirnya,”
kata salah seorang jemputan hari itu. Bukankah ada ilmu khusus yang dalam memahami tafsir yang disebut ilmu usul al-tafsir yang membicarakan asbab al-nuzul, nasikh wal mansukh, muhkam wa mutashabih dan lain-lain?
Selain itu, SIS juga pernah mempertikaikan Undang-undang Kekeluargaan Wilayah Persekutuan dengan berhujah bahawa undang-undang itu menzalimi wanita. SIS juga menyokong tindakan Amina Wadud menjadi imam dan khatib pada hari Jumaat, berhujah bahawa wanita perlu mendapat hak seperti lelaki sedangkan perbuatan itu dicela oleh seluruh ulama’ dunia. Tidak hairanlah apabila Amina Wadud diberi tangungjawab mengendalikan salah satu bengkel semasa Musawah yang lalu kerana dia adalah ‘Nabi’ SIS ini.
Saya menyeru agar Majlis Fatwa Kebangsaan bertindak segera dan menyiasat tanpa mengambil peduli pandangan serta bantahan dari mana-mana pihak sama ada parti politik mahupun NGO-NGO lain. Saya berfikir hanya dengan kajian serta siasatan dari pihak Majlis Fatwa Kebangsaan sahaja mampu mengembalikan akidah umat Islam yang semakin ‘ketinggalan’. Dan jika hasil kajian dan siasatan pihak yang berkenaan benar, maka SIS perlulah diharamkan dengan serta merta.
Saya juga menyeru individu-individu, pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain supaya bersama-sama dengan Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) dalam meneruskan penentangan terhadap penularan dakyah fahaman Islam Liberal yang telah difatwakan sesat dan menyimpang daripada syariat Islam semasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-74 yang lalu.