Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

" BERAMAL KERANA ALLAH "

Sunday, June 15, 2008

Tribulasi Dakwah

"Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa dari mengingati Allah, mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi" surah Al Mujadilah ayat 19.

eperibadian yang rosak akan menyebabkan dakwah Islamiyah hancur, tak berkesan dan dibenci oleh masyarakat. Perkara ini berlaku kerana keperibadian duah adalah antara unsur kejayaan dakwah yang penting. Apatah lagi kalau sekiranya duah mempunyai keperibadian yang busuk atau berkeperibadian syaitan, maka ia akan menyebabkan masyarakat membenci dan memusuhi dakwah Islam.

Diperlukan keperibadian duah yang mantap dan istiqamah bagi memikul beban dan tanggungjawab dakwah yang berat serta mempunyai medan yang susah untuk ianya dilalui. Rasul SAW telah dibekalkan Allah dengan keperibadian yang mulia dikenali sebagai "as Shadiqul Amin", yang jujur dan terpercaya. Beliau dilahirkan dalam keadaan mempunyai fithrah sepertimana anak-anak yang lain, tetapi Allah membimbing dan membina beliau dengan pendidikan yang khas, iaitu menjadi manusia yang sempurna dengan keperibadian Rabbani.
Hilangnya nilai-nilai kemuliaan dalan keperibadian duah ianya akan menyebabkan perjalanan dakwah menjadi kehilangan masa depan.

Dakwah Islam menjadi lemah dan rosak apatah lagi sekiranya keperibadian telah jatuh kelembah hina. Ia menjadi manusia berkeperibadian haiwan. Martabat kemuliaan manusia sebagai makhluk yang sempurna akan hilang, ia berganti menjadi kehinaan dan kerosakan. Duah seumpama ini akan menjadi "penjilat" kepada sesiapa yang dapat memberikan kepadanya dunia. Bagi lebih menegaskan pengertian ini, Allah berfirman di dalam Al Qur'an : "…perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya…" surah Al A'raf ayat 176.

5. Ego.

Dakwah Islamiyah hanya dapat di jalani oleh duah yang tinggi akhlaknya, yang ianya selari dengan nilai-nilai kemuliaan Al Quiran dan As Sunnah. Sebaliknya duah dengan corak, gaya serta budaya hidup yang mengikuti hawa nafsu dan syaitan, ia tidak akan mampu menanggung bebanan dan panjangnya perjalanan dakwah. Al Qur'an menjelaskan bahawa di dalam melaksanakan Islam, ia tidak di benarkan untuk menggunakan cara atau langkah-langkah syaitan sepertimana di dalam surah Al Baqarah ayat 208 : "….Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan…".

Sikap duah yang ego merupakan wujud adanya pengaruh dan dominasi hawa nafsu serta syaitan di dalam dirinya. Ia akan menganggap dirinya yang terbaik, kerananya orang lain mestilah belajar daripadanya atau menerima kehadirannya kerana ia-lah contoh duah yang telah menghadham ilmu-ilmu dakwah. Apatah lagi sekiranya mereka belajar di bumi anbiya, maka akan lebih-lebih sikap ego di dalam diri mereka.

Sikap ini juga akan menolak cadangan serta saham yang diberikan oleh orang lain. Mereka ditutup matanya oleh syaitan dari melihat realiti keterbatasan kemampuan manusia. Ia juga tertutup matanya dari realiti kejayaan orang lain. Sikap seumpama ini akan menyebabkan berlakunya persoalan-persoalan dakwah terutamanya manakala mereka terlibat di dalam amal jama'i. Akibatnya akan wujud di dalam diri duah sikap seperti :

A. Merasa dirinya Hebat (I'tizaziyah).

Dengan wujudnya ego, ia akan menjadikan dirinya sombong dan merasa hebat di banding duah lain. Kalau sekiranya mereka ber "amal jama'i", mereka tidak akan menghargai saham duah yang lain walaupun boleh jadi kejayaan yang diperolehinya disebabkan oleh duah sahabatnya. Duah sedemikian akan menyalahkan orang lain sekiranya ada perkara-perkara yang tak elok berlaku, mereka akan mencari "kambing hitam". Perkara seumpama ini di abadikan oleh Al Qur'an :

"…Dan jika mereka memperolehi kebaikan mereka mengatakan "ini adalah dari sisi Allah" dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan "ini datangnya dari sisi kamu". Katakanlah : " Semuanya dari sisi Allah.…" surah An Nisa ayat 78.

Duah sedemikian akan memandang hanya kepada kejayaan-kejayaan yang ia perolehi serta ia berbangga dan menceritakannya kepada sesiapa sahaja seolah-olah ia sahajalah yang mampu melakukan perbuatan sedemikian.

B. Meperkecilkan peranan orang lain (Intiqashiyah)

Sebaliknya, duah juga akan meperkecilkan sumbangan atau peranan orang lain. Mereka tersinggung sekiranya ada orang yang bersimpati atas kejayaan duah lain. Dirinya merasa tercabar, walaupun pada hakikatnya duah yang ego sedemikian ia tidak mempunyai kemampuan hebat apa sekalipun. Hati mereka gelisah, tersinggung, panas membara di dada manakala mendengar masyarakat memuji duah lain. Mereka merasa diperlekehkan oleh masyarakat walaupun hakikatnya masyarakat tidaklah bermaksud demikian. Mereka memandang duah lain lain sebagai "the second class". Dan seterusnya ia akan melakukan fitnah, menghalang serta melakukan tindakan-tindakan tidak terpuji bagi menyekat penglibatan duah lain di dalam dakwah. Mereka menghalang orang lain dari jalan Allah dengan berbagai tipu helah.

Firman Allah : "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah…" surah Al Anfal ayat 47.


C. Merasa menjadi Figur Hebat (Wijahiyah).

Sikap ego telah mengheret duah untuk merasa dirinya sahaja yang patut di jadikan tokoh atau figur dan orang lain perlu taksub kepadanya. Ia merasa mempunyai kebolehan serta ilmu yang luas.

Sesetengah duah bahkan ada yang menganggap dirinya lebih tahu daripada nabi SAW. Mereka mengatakan : "Nabi hanya memahami Islam di tepi-tepi pantainya, sedang kami memahami kedalaman lautannya" naudzu billahi min dzalik!.

Mereka melaksanakan dakwah dengan berbagai-bagai pendekatan walaupun ianya bercanggah dengan syarak bagi mengukuhkn kedudukannya sebagai duah yang hebat. Tidak jarang duah sedemikian akan memaksakan pengikut-pengikutnya untuk merujuk kepadanya dalam segala urusan, termasuk urusan peribadi dan keluarganya. Duah sedemikian akan "menubuhkan" empayar dakwahnya serta mengangkat dirinya sebagai "raja". Mereka berbuat sedemikian tanpa panduan dakwah yang jelas, memesongkan masyarakat serta menyesatkanya. Allah mengingatkan mereka dengan firman-Nya :

"Mereka melarang (orang lain) mendengarkan Al Qur'an dan mereka sendiri menjauhkan diri daripadanya, dan mereka hanyalah membinasakan diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyadari" surah Al An'am ayat 36


D. Dakwah secara keSeorangan (Infiradiyah)

Selanjutnya dengan egonya duah merasa lebih selesa menjadi "the lone ranger". Mereka tidak menyukai sekiranya ada duah lain yang membantu, walaupun pada awalnya sikap tersebut tidak ia tonjolkan.

Namun lama-kelamaan ia mula dirasai oleh duah lain bahawa sebenarnya ia tidak suka beramal jama'i. Duah yang ego boleh jadi akan menonjol semasa beramal secara bersendirian, namun manakala dipersatukan dengan duah yang lain, prestasi dakwahnya menjadi merosot, terlihat tidak bersemangat, tidak puas dengan hasil kerja duah lain. Pada akhirnya ia mengundur diri dari amal jama'i dan kemudiannya ia akan ber "solo career" di dalam dakwah.
Mereka berhujah dengan ayat-ayat atau hadith untuk "taat", "thiqah" dan "ikram" kepada pimpinan atau murabbi atau guru atau syaikh, bagi memaksa murid atau anak buah agar tetap berguru, walaupun murid atau anak buahnya merasa tertekan. Mereka menjadikan murid atau anak buah sebagai "lembu perahan" bagi mencapai hasrat dan kepentingannya. Duah sedemikian tidak menyedari bahawa di atas langit masih ada langit, sungguh sempit pandangan dan pengharapan yang tinggi menjulang langit, namun ianya tidak disokong oleh kebersihan jiwa dan kelapangan dada.

Kesan dari sikap ego di dalam diri duah akan mencemar kemuliaan dakwah Islam. Mereka mempunyai sikap sombong, kasar dan berperangai "samseng". Dan apa yang menarik yalah seringkali duah yang ego akan berkumpul dan saling mendokong satu dengan lainnya. Mereka akan saling menguatkan, walaupun di dalam hati mereka ada kepentingan masing-masing. Pada hakikatnya hati mereka bercerai-cerai, walaupun ia tampak bersatu kukuh.

Unsur-unsur merosakkan dakwah akan lebih ketara, manakala mereka menghadapi dugaan duniawi baik ia berupa "mihnah" atau "minhah", baik ia berupa bencana ataupun kesenangan. Mereka mudah berpecah dan saling menyalahkan orang lain.

Cukuplah Al Qur'an sebagai pengingat manakala Allah berfirman :

"Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitanpun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan. Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kamipun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami akan siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa" surah Al An'am ayat 43 – 44.

1 comment:

Umar Abd Aziz said...

boleh N'ta bg siri yag pertama?

Blog Widget by LinkWithin